Monday 19 March 2012

Disiplin pelajar Menular!-  PUNCANYA?

 
KANGAR, 7 Mac (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis Rabu menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama membanteras masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dun Kasa berkata melalui kerjasama itu ia akan dapat membantu menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini termasuk kes-kes ponteng sekolah dan salah laku.


Katanya rekod Jabatan Pelajaran Perlis menunjukkan kes salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini meningkat 0.05 peratus daripada 0.48 peratus pada 2010 kepada 0.57 peratus tahun lalu menyebabkan perhatian lebih serius perlu diberikan bagi menangani gejala berkenaan.


"Dengan adanya kerjasama antara Jabatan Pelajaran Perlis dan PDRM dalam menangani masalah ini, Jabatan Pelajaran mensasarkan dapat mengurangkan kes salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini kepada 0.03 peratus tahun ini," katanya ketika berucap sebelum upacara menandatangani MOU itu di sini Rabu.


Majlis menandatangani MOU itu diadakan di dewan mesyuarat Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad, Arau dekat sini dengan Dun menandatanganinya bagi pihak Jabatan Pelajaran manakala PDRM diwakili Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun.


Sumber -- BERNAMA

Thursday 15 March 2012

Makcik nak kahwin lagi! - "Bosan duduk sorang-sorang"

ARAU 3 Mac - Walaupun berusia 116 tahun, Puan Ahmad yang merupakan wanita tertua di negeri ini menyimpan hasrat untuk berkahwin lagi dan sedang mencari calon bagi menjadi pasangan hidupnya.
Menurutnya, hasrat untuk berkahwin lagi antara lain adalah kerana mahu mencari teman bagi mengisi kesunyian hidup berseorangan.
"Bukan apa, bosan juga duduk seorang diri masa tua-tua sekarang," katanya yang berharap mendapat calon suaminya dari kawasan berdekatan tempat tinggalnya di Padang Keria, Sanglang, dekat sini.
Kisah Puan sebelum ini mendapat liputan meluas akhbar termasuk Utusan Malaysia yang melaporkan usia seorang warga emas berusia lebih 90 tahun telah bertukar menjadi 'belasan tahun' berdasarkan pada nombor kad pengenalannya.
Berikutan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membuat semakan ke atas masalah yang dihadapi oleh Puan mendapati warga emas tersebut sebenarnya berusia 116 tahun berdasarkan rekod permohonannya ketika memohon kad pengenalan dahulu yang tercatat tarikh lahirnya pada 1896 dan bukannya 1996 sehingga menimbulkan banyak kesulitan.
"Cuma, adakah orang yang hendak saya?," katanya kepada pemberita pada majlis Jalinan Mesra Bersama Warga Emas yang diadakan di kediamannya hari ini.
Program anjuran bersama Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Pengerusi PKSM, Datuk Mastika Junaidah Hussin dan Pengarah JKM Perlis, Abdullah Ali.
Sebelum ini, Puan dikatakan pernah berkahwin dan mempunyai enam suami tetapi kesemuanya meninggal dunia.
Hasil daripada perkongsian hidup dengan dua orang suaminya, Puan dikurniakan empat anak berusia antara 58 dan 73 tahun, 19 cucu dengan paling bongsu berusia 21 tahun dan 47 cicit dengan yang paling tua berusia 25 tahun.
Mengenai amalan pemakanannya, Puan memberitahu, dia sememangnya menggemari pucuk kayu segar tetapi kadang kala mengambil daging dalam jumlah yang sedikit.

Gambar Makcik nak kahwin lagi!

Gambar Makcik nak kahwin lagi!